03 May 2009

Kajian Berkenaan Hak Penjagaan Anak dan Status Agama Anak (Kes Mohd Ridzuan Abdullah@K. Patmanathan) – SIRI 1



Kajian ini akan diterbitkan di blog Pasti Adam Mak Chili ini sebanyak 3 siri yang disusun :
1. Status agama anak-anak selepas salah seorang pasangan suami isteri memeluk agama Islam.
2. Hak penjagaan anak.
3. Status perkahwinan selepas pengislaman salah seorang suami isteri

Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah:

Status agama tiga orang anak beliau iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).
Hak penjagaan anak.
Status perkahwinan selepas pengislaman.

STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM.

Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:
Pandangan Pertama,
Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah.Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:
عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني

Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."

Pandangan Kedua,
Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam.Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah.
Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.

Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini

Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.

Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:
Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya. Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.

Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.
Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.
Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.

Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.

Bersambung ke siri 2..
Hak penjagaan Anak Mohd Ridzuan Abdullah@ K. Patmanathan

Kiriman dari Ustaz Razi Musa yang kini sedang membuat kajian bagi mendapatkan pengiktirafan Phd dari Universiti Al Azhar Mesir .
Artikel ini adalah HakCipta Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasil Penyelidikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (MANHAL PMRAM).

No comments:

Post a Comment