13 April 2009



Hari ini umat Islam disibukkan dengan isu keruntuhan akhlak muda-mudi. Adakah ia benar-benar berlaku di dalam masyarakat? Ya, memang berlaku, bahkan sampai ke peringkat boleh menggugat keutuhan peribadi umat Islam keseluruhannya.

Pada hari ini, kita sering mendengar berita tentang anak-anak yang tidak menghormati ibu bapa, bahkan sampai ke peringkat mencedera dan membunuh mereka. Berlakunya gejala pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan sehingga melahirkan anak luar nikah, remaja dirosakkan oleh bahan-bahan yang membahayakan tubuh badan seperti dadah, ganja, gam, ubat batuk dan sebagainya, bahkan kita sudah mendengar ada kanak-kanak sekolah yang mencederakan rakan sekolah dan kejadian melawan guru sehingga mahu membakar rumah guru dan sekolah, bukanlah suatu yang pelik pada hari ini.

Di manakah silapnya apabila pemuda pemudi menjadi rosak akhlaknya? Banyak jawapan yang boleh diberikan. Semua jawapan tersebut berkaitan di antara satu sama lain dan bantu membantu ke arah kerosakan akhlak remaja hari ini.

Asas pendidikan remaja adalah di rumah. Sekiranya di rumahnya sendiri mereka tidak mendapat asas pendidikan, maka apabila berada di luar rumah sudah tentu payah untuk membentuk peribadi Muslim yang sejati kerana godaan dan pancaroba di luar sana seperti pergaulan dengan rakan-rakan yang jahat, pergaulan bebas, hiburan yang melalaikan dan sebagainya adalah lebih hebat dan mencabar. Hanya mereka yang mempunyai asas pendidikan Islam dan diwarnai oleh akhlak yang murni yang berpeluang untuk selamat, namun bukan sedikit yang tercicir di pertengahan jalan.

Oleh itu, ajaran Islam telah menentukan cara untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sejati, yang akan menumbuhkan tunas-tunas Islam, yang mampu tumbuh menjalar dan membesar dengan sempurna, tidak mampu dihalang dan dicantas oleh gejala maksiat yang bersimpang siur, kiri dan kanan, akan lahirlah pemuda-pemuda dan generasi sebagaimana firman Allah (maksudnya): Mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, maka kami (Allah) menambahkan kepada mereka dengan hidayah. (Al-Kahfi: 13)

Untuk melahirkan rumah tangga Islam yang sejati, di dalamnya terpancar kecantikan ajaran Islam, maka asas perkahwinan mestilah dibina di atas cita-cita Islam, bukan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu. Biarlah pasangan yang mahu berkahwin itu berniat daripada perkahwinan mereka untuk melahirkan zuriat keturunan yang baik yang akan meramaikan umat Nabi Muhammad s.a.w. yang akan dibanggakan oleh Nabi s.a.w. di hadapan para nabi dan rasul yang lain, bukan sahaja kerana jumlahnya yang ramai tetapi juga kerana mereka patuh dan tunduk kepada ajaran Allah SWT.

Untuk mencapai tujuan tersebut, mereka yang berkeinginan mendirikan rumah tangga mestilah membuat pilihan pasangan masing-masing melalui kaca mata Islam, bukannya melalui kaca mata nafsu dan bisikan syaitan.

Di dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa seseorang perempuan yang dipilih untuk dijadikan isteri berdasarkan empat sifat: kerana kekayaannya, kecantikannya, keturunannya dan agamanya. Sekiranya semua sifat tersebut tidak ada pada diri seseorang perempuan itu kecuali agamanya, maka sifat beragamanya yang mesti menjadi pilihan.

Pada hari ini, kaum lelaki yang ingin berkahwin dan ibu yang hendak mengahwinkan anak perempuan mereka tidak lagi memberi perhatian terhadap sifat beragama dan berakhlak. Perempuan yang mahu dikahwini itu mungkin dikenali di pusat membeli-belah atau di perhentian bas, di tepi pantai atau di dalam surat khabar melalui iklan mencari jodoh. Mereka menjadikan artis, penyanyi dan pelakon sebagai contoh isteri solehah sedangkan artis itulah perosak utama muda-mudi Islam pada hari ini kerana pakaian dan fesyen mereka menjadi ikutan di kota-kota dan pedalaman.

Sementara ibu bapa pula menerima sahaja lamaran untuk meminang anak gadis mereka tanpa menyelidiki sama ada teruna itu sembahyang, puasa menutup aurat atau tidak. Kita bimbang sekiranya anak gadis kita yang asalnya beragama, menutup aurat, sembahyang dan berakhlak mulia, apabila jatuh ke tangan lelaki yang tidak setia kepada agamanya akan membawa fitnah kepada anak gadis kita.

Islam juga mewajibkan ibu bapa mendidik anak dengan pendidikan Islam, mengajar mereka mengenal Tuhan sekalian alam iaitu Allah SWT, mengajar mereka perangai yang baik, akhlak dan kesopanan, mengajar mereka batas-batas halal dan haram dan bersikap tegas kepada anak-anak sekiranya ada timbul bibit-bibit untuk cenderung kepada kejahatan sebelum nasi menjadi bubur.

Firman Allah (maksudnya): Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri kamu dan ahli keluarga kamu daripada azab api neraka, bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat yang kasar lagi bengis, mereka tidak melanggar perintah Allah ke atas mereka dan mereka lakukan apa yang disuruh. (At-Tahrim: 6)

Allah Taala memerintahkan supaya setiap orang Islam berusaha menyelamatkan diri masing-masing dan ahli keluarga daripada azab api neraka. Bagaimanakah caranya? Caranya ialah dengan beramal menurut ajaran Islam. Suami hendaklah memastikan isteri masing-masing patuh kepada ajaran Islam pada perbuatan, percakapan, berpakaian dan melakasakan apa yang diwajibkan oleh Allah Taala dan meninggalkan apa yang dilarang.

Ibu bapa hendaklah sentiasa memerhatikan tingkah laku anak-anak mereka. Menjadi kewajipan untuk bertanya ke manakah mereka keluar, dengan siapa, bila akan pulang dan pelbagai soalan berkaitan. Jangan membiarkan anak-anak melakukan apa yang mereka suka walaupun melanggar batas agama.

Betapa ramai anak-anak yang tidak bersembahyang kerana berkawan 24 jam, pulang ke rumah untuk tidur dan makan. Betapa ramai anak-anak yang terjebak dengan ketagihan dadah dan ganja, pil khayal dan ubat batuk kerana terpengaruh dengan kawan-kawan. Pada asalnya cuma untuk cuba-cuba tetapi apabila sudah ketagih tidak lagi pulang ke rumah siang dan malam.

Anak-anak gadis sudah pandai berkawan dengan lelaki walaupun masih bersekolah menengah. Anak gadis diarak ke hulu ke hilir dengan motosikal oleh lelaki yang bukan suaminya, sudah menjadi perkara biasa di dalam masyarakat. Ibu bapa tidak lagi mampu berbuat apa-apa, sekadar memerhatikan sahaja gelagat anak muda mereka.

Anak pinak adalah harta penting yang dikurniakan oleh Allah. Jika seseorang itu bekerja bersungguh-sungguh untuk mencari sesuap nasi sedangkan rezeki esok hari belum dapat dipastikan lagi, mengapakah kita mensia-siakan rezeki yang dikurniakan oleh Allah yang berupa anak sedangkan anak itu sendiri akan menjadi pesaka yang amat berharga apabila mati kelak, sekiranya anak itu menjadi anak yang soleh.

Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): Apabila mati anak Adam, maka putuslah amalannya kecuali daripada tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.Marilah sama-sama kita kembali kepada ajaran Islam di dalam membina rumah tangga. Suami yang baik dijadikan untuk isteri yang baik, akan melahirkan pula anak-anak yang soleh, yang akan menjadi harta yang tidak ada galang ganti, bermanfaat semasa hidup dan sesudah mati. Itulah benteng yang yang paling kukuh untuk menghadapi kerosakan akhlak muda mudi masa ini.


Catatan dari blog Cina Islam ,

Oleh Tuan Guru Dato' Seri Hj Abdul Hadi Awang

Read More...

03 April 2009

Takziah

Ucapan takziah kepada keluarga Razali Sidek di atas pemergian isteri tercinta iaitu Allahyarhamah Puan Yusnani Yusof , pada malam Jumaat 2 April selepas selesai menunaikan solat isyak . Allahyarhamah adalah merupakan guru senior Pasti Adam Mak Chili Kemaman meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas . Beliau meninggalkan 4 orang anak tercinta . Dikenali dengan panggilan Cikgu Teh adalah amat mesra dengan pelajar dan ibubapa di Pasti . Allahyarhamah adalah guru kepada pelajar baru 4 tahun yang memerlukan kecekalan dan ketabahan menangani kerenah anak-anak . Majlis pengkebumian disempurnakan pada waktu pagi yang dihadiri oleh guru-guru Pasti , kaum keluarga , pengurusan pasti Mak Chili dan Kawasan .
Pengurusan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama dengan orang-orang yang soleh . Juga mendoakan semoga keluarga Razali Sidek menempuhi ujian ini dengan tabah .

Allahyarhamah adalah yang kedua dari kiri di barisan tengah

Read More...

16 March 2009

Pasti Catering

Terima kasih kepada guru-guru, AJK dan masyarakat di atas sumbangan dan kerjasama yang diberikan bagi menjayakan majlis perkahwinan anak sahabat kita. Ucapan terima kasih juga dari Tuan rumah di atas bantuan yang dihulurkan. Sama-sama memperbaiki kelemahan yang ada.

Info Pasti

Read More...

07 January 2009

JAWATAN : GURU PASTI ADAM MAK CHILI

Dengan penambahan murid yang agak ketara pada sessi 2009 ini , Pihak Pengurusan Pasti Adam Mak Chili ingin mendapatkan Guru-Guru yang berminat untuk memenuhi kekosongan 3 jawatan di Pasti Adam Mak Chili.
Keperluan : Dengan segera
Sila Hubungi Puan Aidah Tawang di Talian Pasti 09-8581251 di waktu pejabat.

Dilulus terbit : Info Pasti

Read More...

04 January 2009

SESSI PERSEKOLAHAN BERMULA



4hb Januari 2009,
Sessi persekolahan bermula. Majoriti ibu dan bapa mengambil cuti tahunan untuk menghantar anak mereka ke Pasti Adam Mak Chili . Sesetengah ibu bapa mengambil masa yang panjang untuk 'negotiate' dengan anak-anak untuk ditinggalkan dengan cara yang tersendiri. Ibu pula terpaksa 'belajar' seketika waktu untuk mengurangkan rasa kehilangan jika ditinggalkan secara mengejut .


Ini adalah sebahagian sedutan suasana pendaftaran hari pertama di Pasti Adam Mak Chili . Guru-guru Pasti Adam Mak Chili yang berpengalaman dapat mengatasi masalah ini dengan sistem dan latihan yang telah mereka ikuti .

Pada tahun 2009 ini Pasti Adam Mak Chili telah menerima murid seramai 325 orang ( sehingga ke hari ini ) , kelas Nursery seramai 90 orang dan juga menerima pelajar kelas KAFA petang seramai 60 orang . Seramai 16 orang guru termasuk pembantu ditugaskan untuk menjalankan kelas yang telah di atur .

Pihak Jawatankuasa Pasti Adam Mak Chili dan guru-guru mengucapkan berbanyak terima kasih di atas sokongan masyarakat bagi menjayakan Pasti Adam Mak Chili dan akan berusaha untuk terus memperbaiki segala kelemahan yang ada .


Dilulus terbit : Info Pasti

Read More...

01 January 2009

Penebusan Baucer Adam Mart


Makluman kepada semua pemenang hadiah cabutan bertuah Baucer Runcit Adam Mart dikehendaki menebus barangan runcit mereka di kedai Adam Mart dengan segera sebelum 31 Januari ini .

Harap Maklum

Read More...

29 December 2008

Taklimat pendaftaran kemasukan tahun 2009

Assalamualaikum,
Taklimat Pendaftaran kepada ibu bapa InsyaAllah akan diadakan di dewan Pasti Adam Mak Chili pada Hari Jumaat ini , 2 hb Januari 2009 jam 9.00 pagi.

Keputusan Mesyuarat Dewan Harian Pasti Adam Mak chili memutuskan tidak akan mengambil cuti yang diwartakan pada 6hb Januari nanti. Persekolahan akan diteruskan seperti biasa.

Harap Maklum

Read More...

28 December 2008

PASTI adam Cuti pada 6 Januari

Salam,
Pasti Adam akan bercuti pada 6 hb ini . Ini adalah arahan dari penyelaras PASTI kawasan yang bermesyuarat pada 25 Disember baru-baru ini .
Harap maklum.

Read More...

27 December 2008

Penting : Kesediaan membaca dikalangan kanak-kanak



Kebolehan membaca setiap kanak-kanak sering menghantui ibu bapa. Ibu bapa apabila menghantar anak-anak mereka ke pra sekolah secara formal memfokuskan kepada kebolehan membaca. Mereka mengharapkan apabila tamat sahaja tempoh pembelajaran di pra sekolah, anak-anak mereka sudah pun menguasai kemahiran membaca.Penguasaan bacaan asas pun sudah memadai. Ianya sudah cukup sebagai persediaan kanak-kanak untuk sessi persekolah di tahun satu sekolah rendah.
Alangkah gembiranya ibu bapa apabila anak-anak mereka yang tamat sessi pembelajaran di pra sekolah sudah pun menguasai bacaan asas. Bertolak dari sinilah pusat-pusat pendidikan pra sekolah menawarkan berbagai pencapaian dalam bidang Bacaan, Al quran, Penulisan Jawi, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dll.
Penawaran ini menjadi alat promosi pusat pendidikan mereka. Ibu bapa berlumba-lumba menghantar anak-anak ini ke pendidikan pra sekolah yang menawarkan berbagai pencapaian yang di iklankan.








Harus diingat ibu bapa serta para guru yang terlibat dengan pendidikan pra sekolah ini perlu melihat beberapa aspek sebelum mengejar pencapaian yang ditawarkan itu. Anak-anak yang masih mentah, antara 4 hingga 6 tahun ini perlu didedahkan dengan beberapa perkara sebagai persediaan awal anak-anak untuk mencapai tawaran tersebut. Di antaranya ialah kesediaan membaca dan kesediaan menulis. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui bahawasanya pencapaian dalam aspek yang ditawarkan ini memerlukan persediaan awal di rumah lagi. Aspek berkomunikasi anak-anak di rumah juga mempengaruhi pembelajaran anak-anak, khususnya dalam kemahiran berbahasa.




Dalam pengajaran bahasa tiga aspek penting tidak dapat dipisahkan. Bacaan, menulis dan berlisan merupakan aspek yang tidak boleh dialpa begitu sahaja. Kekurangan salah satu aspek tersebut, menimbulkan berbagai kelemahan dalam bidang yang ditawarkan di atas. Oleh yang demikian, ibu bapa dan guru sangatlah perlu mempunyai ilmu yang mencukupi dalam menentukan sama ada anak-anak mereka sudah pun mempuyai kesediaan yang cukup sebelum diajar bahasa.


INSTRUMENT PENGESANAN KESEDIAAN MEMBACA


Berikut ialah instrument bagi mengetahui tahap kesediaan anak-anak untuk persediaan belajar membaca.




Tandakan dengan Ya atau Tidak




MEMAHAMI SIFAT BACAAN :

1.1 Adakah ia kenal nama, bentuk dan bunyi huruf.
1.2 Boleh ia membaca perkataan-perkataan mudah aku, ibu, saya, ayam dsb.
1.3 Bolehkah ia menggerakkan matanya dari kiri ke kanan semasa membaca.
1.4 Bolehkah ia bercerita, faham bahasa lisan dan tahu cara-cara memegang buku.



KESEDIAAN FIZIKAL DAN DERIA :

2.1 Adakah Penglihatannya baik.
2.2 Adakah pendengarannya baik.
2.3 Adakah ia mampu mendengar dan melaksanakan arahan dengan baik,
2.4 Adakah ia sentiasa cergas dan ingin tahu.
2.5 Bolehkakh ia memegang dan menggunakan pensel / krayon dengan betul.
2.6 Bolehkah ia melukis bentuk-bentuk asas



PENGGERAK ( MOTINASI ) :

3.1 Adakah ia bersedia membuat kerja-kerja yang diberikan kepadanya.
3.2 Adakah ia berminat untuk belajar.
3.3 Adakah ia gemar melihat gambar atau buku.
3.4 Adakah ia gemar melukis dan menulis.


PERKEMBANGAN EMOSI DAN SOSIAL :


4.1 Adakah ia gemar bergaul dengan orang lain.
4.2 Bolehkan ia berkongsi barangnya dengan orang lain.
4.3 Adakah ia menerima pemberian dari orang lain.
4.4 Adakah ia tidak mudah tersinggung perasaan.
4.5 Bolehkah ia bergaul dengan orang dewasa.
4.6 Bolehkah ia berbual dengan orang dewasa



KESEDIAAN BAHASA :

5.1 Bolehkah ia menceritakah semula cerita yang telah dilihatnya.
5.2 Bolehkah ia menceritakan sesuatu pengalaman yang telah dilaluinya.
5.3 Adakah ia suka mendengar cerita.
5.4 Adakah ia faham akan cerita yang didengarkan.
5.5 Bolehkan ia mendengar cerita yang didengan dalam kumpulan.
5.6 Adakah ia seorang yang petah/fasih bercakap.

KEMAHIRAN PENGLIHATAN

6.1 Bolehkah ia memadankan gambar yang berpasangan.
6.2 Bolehkah ia memadankan bentuk yang sama.
6.3 Bolehkah ia memadankan huruf yang sama.
6.4 Bolehkah ia memadan suku kata dengan gambar.
6.5 Bolehkah ia memadankan perkataan dengan gambar.
6.6 Bolehkan ia memadan ayat dengan gambar.
6.7 Bolehkan ia mencantumkan gambar.
6.8 Bolehkan ia mencantumkan suku kata menjadi perkataan.
6.9 Bolehkah ia mencantum perkataan menjadi ayat.
6.10 Bolehkah ia mencantum ayat menjadi cerita.

KEMAHIRAN PENDENGARAN :

7.1 Bolehkah ia memberi perhatian kepada orang yang bercakap.
7.2 Bolehkah ia mengecam bunyi-bunyi di sekelilingnya.
7.3 Bolehkah ia mendiskriminasikan bunyi-bunyi yang diperdengarkan kepadanya.
7.4 Bolehkah ia membezakan bunyi-bunyi huruf dan suku kata.
7.5 Adakah ia gemar bermain ( permainan bahasa ) yang melibatkan pendengaran.




Dilulus terbit oleh : Info Pasti

Read More...

25 December 2008

Adam Mart - Pasti Adam Mak Chili





















Adam Mart ditubuhkan pada 31 Disember 2007 dimana anggotanya terdiri dari Ahli Jaatankuasa Pasti Adam Mak Chili dan guru-guru. Telah didaftarkan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dengan Nombor Pendaftaran TR0079552-T bertarikh 26 Jun 2008. Skop perniagaan adalah mengusahakan kedai runcit,makanan kering dan metah,maskan islam bermasak dan pemborong barang runcit dan bahan binaan .


Kedai runcit Adam Mart yang beroperasi pada hari Sabtu hingga Khamis begitu mendapat sambutan dari ibu bapa dan penduduk sekitar . Adam Mart juga merupakan satu kegiatan ekonomi yang di taja oleh Pihak Pengurusan Pasti Adam Mak Chili dimana hasil perniagaan diagihkan kepada Dana Pendidikan Pasti Adam Mak Chili .

Read More...

Aktiviti Tahunan - Qurban Perdana













Pasti Adam mak Chili telah menganjurkan majlis Qurban perdana kali ke 4 pada hari raya pertama baru-baru ini. Sebanyak 18 ekor lembu dan kerbau telah disembelih dan melibatkan seramai 115 peserta . Seramai 80 orang petugas sukarela dilantik untuk melicinkan program Qurban Perdana tersebut . Jumlah kutipan dijadikan sumber ekonomi Pasti Adam Mak Chili .

Read More...