Photo
09 May 2009
Karnival Sukan Pasti Kemaman
Photo
Pelancaran pra-sambutan 25 tahun Pasti Kemaman
PENGURUS PASTI ADAM MAK CHILI
08 May 2009
SIRI 3 - Kajian Berkenaan Hak Penjagaan Anak dan Status Agama Anak (Kes Mohd Ridzuan Abdullah@K. Patmanathan)
Pendapat Para Ulama
Syariah Islam menetapkan, apabila seorang suami memeluk Islam, maka si isteri juga perlu diminta untuk memeluk Islam. Jika si isteri memeluk Islam di dalam tempoh ‘iddahnya, maka perkahwinan tersebut boleh diteruskan seperti biasa (tanpa perlu diperbaharui akad nikahnya). Islam bukanlah satu agama yang memecah belahkan institusi kekeluargaan, bahkan Islam itu sendiri mengajar ummatnya untuk membina sebuah keluarga yang bahagia. Perbezaan agama antara suami dan isteri bukanlah penghalang kepada ikatan pernikahan mereka, tetapi keengganan si isteri untuk berbuat demikian menyebabkan berlakunya perpisahan .
Keempat-empat mazhab Islam iaitu Hanafi, Maliki, Syafie, dan Hambali menetapkan perkahwinan mereka berdua akan terfasakh. Para ulamak hanya berselisih pendapat dari sudut bilakah waktu fasakh itu berlaku, samaada daripada saat pengIslaman suami atau saat isteri enggan memeluk Islam. Perpisahan tersebut akan berlaku melalui kuasa qadhi.
Fasakh atau perpisahan tersebut bukan bermakna si suami meninggalkan tanggungjawabnya ke atas isteri dan anak-anaknya dari sudut nafkah dan perbelanjaan. Islam sangat menjaga hak setiap manusia samaada Muslim atau Non Muslim. Perpisahan yang berlaku di antara pasangan suami isteri disebabkan perbezaan agama tidak menggugurkan kewajipan suami kepada isterinya dan anak-anaknya.
Hak Pemberian Nafkah
Nafkah kepada anak, Si ayah wajib memberikan nafkah dan keperluan kepada anak-anaknya selagi mana mereka masih kecil sehingga mampu berdikari sendiri jika anak tersebut adalah anak lelaki. Manakala bagi anak perempuan, bapa perlu memberi nafkah kepadanya sehingga anak tersebut berkahwin sahaja.
Nafkah kepada isteri ,Suami wajib memberi nafkah kepada isteri tersebut selama mana di dalam tempoh ‘iddah sahaja.Ini jelas menunjukkan hujah yang mengatakan bertukar agama adalah satu cara untuk lari daripada tanggungjawab adalah hujah yang amat dangkal. Ini kerana Islam sama sekali tidak memberikan ruang kepada penganutnya untuk lari atau cuai menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Kiriman dari Ustaz Razi Musa yang kini sedang membuat kajian bagi mendapatkan pengiktirafan Phd dari Universiti Al Azhar Mesir .
Artikel ini adalah HakCipta Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasil Penyelidikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (MANHAL PMRAM).
06 May 2009
SIRI 2 - Kajian Berkenaan Hak Penjagaan Anak dan Status Agama Anak (Kes Mohd Ridzuan Abdullah@K. Patmanathan)
Pendapat Ulamak,
Para ulama di dalam keempat-empat mazhab membincangkan tentang perkara ini . Para ulama bermazhab Syafie dan Hanbali rahimahumullah meletakkan bahawa hak penjagaan mestilah kepada seorang Islam. Orang kafir tidak layak untuk mendapat hak penjagaan anak tersebut.
Manakala para ulama bermazhab Hanafi dan sebahagian ulama Maliki rahimahumullah tidak meletakkan Islam sebagai syarat untuk penjagaan. Ini bermakna jika penjaga tersebut (ibu atau bapa) salah seorang daripada mereka masih di dalam agama asal (non muslim) maka mereka masih boleh mempunyai hak untuk menjaga.
Ini berdasarkan kepada hadis Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud , al-Nasa'ie , Ibn Majah , Ahmad bin Hambal , al-Baihaqi , al-Hakim Naisaburi, Ibn Abi Syaibah rahimahumullah dan para ulama hadis yang lain . Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam membenarkan untuk budak tersebut memilih dengan siapakah dia ingin tinggal, sama ada dengan ayahnya yang Muslim atau Ibunya yang Non-Muslimah. Ini kerana hak penjagaan adalah atas rasa belas kasihan dan ianya tidak menjadi masalah walaupun berbeza agama. Nas hadis tersebut adalah seperti berikut:
حدثنا عبد اللَّهِ حدثني أبي ثنا هُشَيْمٌ ثنا عُثْمَانُ أبو عَمْرٍو البتي عن عبد الْحَمِيدِ بن سَلَمَةَ أَنَّ جَدَّهُ أَسْلَمَ في عَهْدِ رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ولم تُسْلِمْ جَدَّتُهُ وَلَهُ منها بن فَاخْتَصَمَا إلى رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فقال لَهُمَا رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ان شِئْتُمَا خَيَّرْتُمَا الْغُلاَمَ قال وَأَجْلَسَ الأَبَ في نَاحِيَةٍ وَالأُمَّ نَاحِيَةً فَخَيَّرَهُ فَانْطَلَقَ نحو أُمِّهِ فقال رسول اللَّهِ صلى الله عليه وسلم اللهم اهْدِهِ قال فَرَجَعَ إلى أبيه
Maksud: Diriwayatkan daripada Saidina Abdul Humaid bin Salamah radhiyallahu anhuma bahawa datuknya telah memeluk Islam pada zaman Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam, tetapi neneknya enggan. Hasil perkahwinan mereka, dikurniakan seorang anak. Mereka berdua datang mengadu kepada Baginda sallallahu alaihi wasallam (berkenaan hak penjagaan terhadap budak tersebut). Sabda Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam kepada mereka berdua : Jika kamu berdua mahu, budak tersebut akan diberikan pilihan untuk memilih kamu berdua. Kata Abdul Humaid bin Salamah : Si ayah diletakkan di suatu sudut, dan si ibu juga diletakkan di suatu sudut, maka budak tadi diberi pilihan . Didapati budak tersebut bergerak ke arah ibunya.Maka Baginda sallallahu alaihi wasallam berdoa: Ya Allah berikanlah hidayah kepadanya. Kata Abdul Humaid bin Salamah :Maka budak tersebut kembali kepada ayahnya (mengikut ayahnya).
Tetapi para ulama di dalam mazhab Hanafiyah dan Malikiyah berbeza pendapat pula berapa lamakah tempoh budak tersebut perlu berada di bawah penjaganya yang bukan Islam:
Ulama Hanafiyah berpendapat : Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam sehinggalah dia mampu berfikir tentang keagamaan(iaitu setelah mencapai umur 7 tahun). Hak penjagaan juga akan tamat jika budak tersebut tidak terjamin keselamatan agamanya jika berada bersama penjaga tersebut(seperti dibawa ke tempat ibadah mereka, budak tersebut mempelajari perkara berkaitan agama penjaga tersebut, diberi minum arak atau memakan makanan yang haram)
Ulama Malikiyah berpendapat: Kanak-kanak tersebut boleh berada di bawah jagaan penjaga yang bukan Islam tersebut sehinggalahtamat waktu hak penjagaan.( Bagi budak perempuan, hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia berkahwin, manakala bagi budak lelaki pula hak penjagaan terhadapnya ialah sehingga dia baligh.)
Tetapi penjaga tersebut perlu menjaga hak-hak penjagaan terhadap budak tersebut seperti tidak memberi makanan yang haram dan memberi minum arak kepadanya. Tetapi jika dikhuatiri akan berlaku perkara tersebut maka hak penjagaan tersebut perlulah diberikan kepada golongan Muslimin demi menjaga budak tersebut daripada kesesatan
Cadangan Terhadap Kes Yang Berlaku
1. Berdasarkan pendapat para ulama yang kita telah bincangkan, anak kepada Mohd Ridzuan bin Abdullah @ K Patmanathan, 40 tahun iaitu Tevi Darsiny (12 tahun) dan Karen Danish ( 11 tahun ) tidaklah dibenarkan untuk berada dibawah penjagaan si isteri yang enggan memeluk Islam. Ini kerana, keadaan kedua-dua anak mereka jika berada di bawah jagaan ibu sahaja dibimbangi persekitaran yang tidak baik akan mempengaruhi mereka.
2. Manakala anak yang ketiga iaitu Prasana Diksa (1 tahun), dibenarkan untuk berada di bawah jagaan si ibu (dengan syarat diadakan giliran antara ibu dan bapa) berdasarkan pendapat yang disebutkan oleh Mazhab Hanafiyah dan Malikiyah. Ini kerana Prasana Diksa masih kecil dan belum mencapai umur yang memungkinkan untuknya berfikir tentang keagamaan. Ini juga menunjukkan bahawa Islam bukanlah agama yang bersikap kuku besi yang menghalang secara semberono hak individu.
Bersambung ke siri 3..
Status perkahwinan selepas pengislaman salah seorang suami isteri
Kiriman dari Ustaz Razi Musa yang kini sedang membuat kajian bagi mendapatkan pengiktirafan Phd dari Universiti Al Azhar Mesir .Artikel ini adalah HakCipta Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasil Penyelidikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (MANHAL PMRAM).
03 May 2009
Kajian Berkenaan Hak Penjagaan Anak dan Status Agama Anak (Kes Mohd Ridzuan Abdullah@K. Patmanathan) – SIRI 1
1. Status agama anak-anak selepas salah seorang pasangan suami isteri memeluk agama Islam.
2. Hak penjagaan anak.
3. Status perkahwinan selepas pengislaman salah seorang suami isteri
Isu pengislaman Saudara Mohd Ridzuan Abdullah atau K Patmanathan, 40, bekas penganut Hindu, telah menimbulkan satu polemik yang perlu dinilai dari sudut Syarak terhadap beberapa isu. Isu yang akan dibincangkan di sini adalah:
Status agama tiga orang anak beliau iaitu Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun).
Hak penjagaan anak.
Status perkahwinan selepas pengislaman.
STATUS AGAMA ANAK-ANAK SELEPAS SALAH SEORANG PASANGAN SUAMI ISTERI MEMELUK AGAMA ISLAM.
Pandangan Islam Terhadap Status Anak Apabila Hanya Salah Seorang Ibu Bapa Memeluk Islam.Dalam menjelaskan status anak-anak selepas salah seorang ibu bapa memeluk Islam sedangkan pihak yang kedua tetap berada dalam agama asal, para fuqaha Islam telah berselisih pandangan kepada beberapa pandangan:
Pandangan Pertama,
Anak-anak adalah mengikut agama Islam sama ada yang memeluk Islam adalah bapa ataupun ibu.Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh kebanyakan para fuqaha Islam daripada mazhab al-Hanafiyyah, al-Syafi`iyyah dan al-Hanabilah.Maka berdasarkan kes yang berlaku, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.
Hujah pandangan pertama ini adalah hadith Rasulullah yang berbunyi:
عَنْ عَائِذِ بْنِ عَمْرٍو الْمُزَنِيِّ عَنِ النَّبِيِّ قَالَ : (( الإسْلاَمُ يَعْلُوْ وَلاَ يُعْلَى )) . رواه البيهقي والدارقطني والروياني
Daripada A'idz bin Amr Almuzani, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Islam tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya."
Pandangan Kedua,
Anak-anak adalah mengikut agama Islam apabila yang memeluk Islam adalah bapa. Sekiranya yang memeluk Islam adalah ibu, anak-anak tidak dianggap beragama Islam.Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam Malik.Hujah yang dipegang oleh al-Imam Malik adalah seseorang anak adalah dinasabkan kepada si ayah dan bukannya dinasabkan kepada si ibu. Maka kerana itulah keislaman si ayah sahaja yang akan menyebabkan si anak turut beragama Islam sebagai mengikut agama si ayah.
Maka berdasarkan kes di atas, Tevi Darsiny (12 tahun), Karan Dinesh (11 tahun) dan Prasana Diksa (1 tahun) adalah tetap diiktibar sebagai beragama Islam kerana mengikut agama yang dianuti oleh bapanya.
Cadangan Terhadap Penyelesaian Isu Ini
Berdasarkan kajian ringkas di atas, dapatlah disimpulkan bahawa anak-anak kepada saudara Mohd Ridzuan Abdullah adalah beragama Islam kerana mengikut agama Islam yang telah dianuti oleh beliau.Namun disebabkan pihak isteri beliau masih beragama Hindu yang berkeras untuk menjaga anak-anaknya dan membesarkannya dalam agama Hindu, semestinya kenyataan kita untuk mengekalkan status ketiga-tiga anak mereka berdua sebagai beragama Islam akan menimbulkan satu ketegangan antara masyarakat Islam dan masyarakat bukan Islam secara umumnya.
Atas dasar ingin mencari jalan yang paling baik dengan meraikan pandangan-pandangan para ulama, kami mencadangkan perkara-perkara di bawah:
Menerangkan kepada masyarakat di Malaysia bahawa maksud anak-anak tersebut berstatuskan agama Islam adalah mereka bertiga dianggap sebagai seorang Islam sepanjang tempoh mereka belum lagi mencapai umur baligh. Status keislaman mereka sebelum tempoh baligh akan berkait rapat dengan pembahagian harta pusaka khususnya. Sebagaimana yang dimaklumi, apabila anak-anak tersebut berstatuskan Islam, mereka berhak mewarisi harta saudara Mohd Ridzuan Abdullah kerana persamaan agama antara pihak ayah dan anak-anak. Walau bagaimanapun sekiranya anak-anak tersebut meninggal dunia sebelum mereka mencapai umur baligh, maka berdasarkan pandangan Islam jenazah mereka akan diuruskan sebagai seorang Muslim. Ini dijangka akan menimbulkan satu lagi masalah perebutan jenazah antara si isteri yang beragama Hindu dan si ayah yang beragama Islam.
Apabila anak-anak tersebut telah mencapai umur baligh, mereka akan diberikan hak untuk memilih sama ada ingin memeluk agama Islam ataupun memeluk agama Hindu. Pandangan ini adalah pandangan yang dipegang oleh al-Imam al-Thauriyy. Para pembaca perlu menyedari bahawa pandangan yang kami pilih ini bukanlah pandangan majoriti ulama Islam.
Adapun pandangan majoriti ulama Islam, anak-anak tersebut secara automatik akan menjadi seorang muslim sebaik sahaja si ayah memeluk agama Islam. Sekiranya anak-anak tersebut setelah baligh memilih untuk tidak beragama Islam, berdasarkan pandangan majoriti ulama, mereka akan menjadi murtad.
Pandangan al-Thauri yang kami pilih ini adalah semata-mata memikirkan situasi masyarakat non Muslim di Malaysia yang mungkin tidak akan dapat menerima keputusan bahawa kesemua anak-anak terbabit hendaklah beragama Islam. Sekurang-kurangnya dengan berpegang pandangan al-Thauri, masyarakat non Muslim dapat menerima keputusan kerana hak untuk memilih agama diserahkan kepada anak-anak tersebut selepas mereka baligh.
Kami tidak mendapati sebarang masalah sekiranya nama ketiga-tiga anak saudara Mohd Ridzuan Abdullah dikekalkan dengan nama asal melainkan sekiranya makna nama mereka mengandungi unsur-unsur syirik dan makna-makna yang buruk.
Bersambung ke siri 2..
Hak penjagaan Anak Mohd Ridzuan Abdullah@ K. Patmanathan
Kiriman dari Ustaz Razi Musa yang kini sedang membuat kajian bagi mendapatkan pengiktirafan Phd dari Universiti Al Azhar Mesir .
Artikel ini adalah HakCipta Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasil Penyelidikan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (MANHAL PMRAM).
30 April 2009
Budak Ajaib Anugerah Allah

27 April 2009
AJK IT - Ahlan Wasahlan
En Sham Kamal bin Zainal
En Zahari bin Zakaria
Mereka adalah mempunyai kepakaran IT & dokumentasi untuk membantu Pasti Adam ke arah merealisasikan perancangan Pasti Bestari 2010 .
Terima kasih dari pengurusan Pasti Adam Mak Chili.
23 April 2009
Pengurusan Pasti Adam bagi tahun 2009 - 2011
Senarai Penuh :
14 April 2009
PASTI Melaka hadapi tekanan
PASTI Negeri Melaka terus menerus menghadapi tekanan dari Kerajaan Negeri Melaka dan agensi-agensi kerajaan. Kes perbicaraan terhadap beberapa PASTI dinegeri ini sudah berlarutan bertahun-tahun tanpa penyelesaian.
Pengurus-pengurus PASTI terpaksa berulang alik turun naik Mahkamah akibat kekejaman pihak berkuasa. Mengapa begitu zalim mereka ini terhadap anak-anak kecil yang ingin menimba ilmu Islam sedangkan banyak lagi kerja lain yang sepatutnya mereka lakukan.Sepatutnya pihak berkuasa membantu dan menolong pengusaha PASTI bagi meningkatkan lagi taraf pengajaran dan pembelajaran PASTI sebagaimana yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor.
Mahkamah Persekutuan Selasa lalu memutuskan untuk menangguhkan perbicaraan kes penyemakan penghakiman Pusat Asuhan Tunas Islam ( PASTI ) Al – Kautsar, Ayer Keroh setelah panel hakim yang bersidang bersetuju dengan permohonan barisan peguam PASTI supaya kes ini dihakimi oleh 5 orang hakim.
Keputusan dibuat setelah mendengar penghujahan dari kedua – dua pihak pemohon dan responden. Panel 3 orang hakim yang dipengerusikan oleh Panel Hakim Mahkamah Persekutuan Ariffin Zakaria yang menyifatkan kes ini sebagai ‘interesting’ membuat membuat keputusan tersebut setelah mendengar dan menimbangkan soalan yang ditimbulkan untuk diputuskan oleh mahkamah.
Isu yang timbul adalah samada majistret mempunyai bidang kuasa membicarakan kesalahan jenayah syariah dan samada kebenaran untuk mendakwa yang dikeluarkan oleh pendakwaraya yang membenarkan pendakwaan berkaitan kesalahan jenayah syariah di mahkamah sivil adalah berpelembagaan. Barisan hakim yang dipengerusikan oleh Yang Arif Ariffin Zakaria membuat keputusan tersebut dengan berkata hasil daripada keputusan perbicaraan ini akan mendatangkan implikasi yang besar dan mendalam kepada perundangan negara kerana ia melibatkan perundangan syariah dan sivil seluruh Malaysia .
Oleh itu kes ini dianggap serius dan harus diadili oleh panel hakim sepenuhnya. Tuan Haji Sulaiman Abdullah, salah seorang daripada peguam yang mewakili PASTI membuat permohonan supaya kes ini dihakimi oleh sekurang – kurangnya 5 orang hakim telah meminta agar diberikan masa yang secukupnya untuk membuat persediaan. Panel hakim memberikan peluang kepada kedua – dua pihak peguam PASTI dan peguam yang mewakili peguam negara supaya memilih dan menetapkan sendiri tarikh perbicaraan berikutnya, yang telah dipersetujui oleh pendaftar mahkamah pada 29 September 2009.
Defendan di dalam kes ini, En. Mohd Nor telah dituduh menyelenggarakan PASTI Al - Kautsar, Ayer Keroh tanpa mendaftarkannya kepada Jabatan Agama Islam Melaka ( JAIM ) pada tahun 2005 telah didakwa di bawah Enekmen 51 Pengawalan Sekolah – sekolah Agama Islam ( Melaka ) 2002.
Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 53 yang jika didapati bersalah boleh didenda tidak lebih daripada RM5000 atau penjara tidak lebih daripada 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Saf peguam PASTI telah memohon supaya majistret menangguhkan kes ini untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi Melaka kerana isu berkaitan dengan perlembagaan timbul.
Mahkamah Tinggi Melaka telah menangguhkan kes ini ke Mahkamah Persekutuan dan kes ini telah berlanjutan selama beberapa tahun lamanya setelah dibicarakan beberapa kali di peringkat Mahkamah Persekutuan yang sebelum ini dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
Tuan Haji Muhamad Burok yang juga merupakan salah seorang peguam PASTI ketika ditemuramah menegaskan bahawa soalan yang timbul samada pertuduhan kes ini memberi kuasa kepada mahkamah majistret untuk menghakimi kes berkaitan agama islam wajib dijawab mahkamah yang bersidang dengan panel penuh.
Beliau berkata saf peguam PASTI telah berhujah di Mahkamah Tinggi Melaka bahawa adalah tidak wajar kes syariah didengar oleh mahkamah sivil kerana ia mendedahkan kepada kemungkinan hakim bukan islam untuk membicarakan dan memutuskannya.
Perbicaraan pada hari ini turut dihadiri oleh beberapa wakil dari PAS Kawasan Bukit Katil, Setiausaha PASTI Negeri Melaka dan 3 orang wakil dari Dewan Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil yang diketuai oleh ketuanya, Saudara Puat bin Bedol.
Sumber: Mutaligat
13 April 2009
Panggilan SMS palsu bagi penipuan Kad Kredit Anda
Bank Negara Malaysia ingin memberi peringatan kepada anggota masyarakat supaya berhati-hati bila menerima panggilan atau SMS mendakwa panggilan dari Bank Negara Malaysia atau bank komersial di bawah unit Kad Kredit Palsu . Fakta-fakta adalah:
Tidak ada Jabatan yang disebut " Unit Kad Kredit Palsu di Bank Negara Malaysia. Nombor 8659-XXXX adalah bukan telefon dari Bank Negara Malaysia .Untuk Pengetahuan Bank Negara Malaysia TIDAK akan meminta informasi perbankan melalui SMS atau telefon. Berdasarkan lapuran yang diterima oleh Bank Negara Malaysia, telah terjadi peningkatan insiden seperti fraudsters membuat panggilan dan mengirim SMS kepada anggota masyarakat untuk memperoleh data-data perbankan mereka, dengan tujuan untuk ’siphoning monies’ dari satu account .
Dari siasatan Bank Negara Malaysia, modus operandi scam adalah sebagai berikut:
1. Mangsa akan menerima SMS atau telefon: Meminta Mangsa untuk membuat pengesahan Kad kredit untuk transaksi pembelian barang yang dikenakan kepada Mangsa dari Kad kredit.
2. Ketika Mangsa memanggil nombor telefon yang disediakan dalam SMS, fraudsters memperkenalkan diri mereka sebagai agen dari bank komersial, dan sekali lagi meminta mangsa untuk membuat pengesahan apakah transaksi Kad kredit yang telah terjadi.
3. Ketika Mangsa memberitahu bahawa tidak pernah menggunakan seperti yang terdapat pada Kad kredit atau transaksi, pegawai tersebut akan memberi nasihat kepada mangsa supaya membuat lapuran kepada Bank Negara Malaysia di bawah "Unit Kad Kredit Palsu", atau dengan bank komersial " credit card management department “. Mereka (dengan nada suara prihatin) akan memberikan nombor telefon "Unit Kad Kredit Palsu" Bank Negara Malaysia .
4. Ketika Mangsa memanggil nombor telefon yang diberikan, mereka akan disambut oleh sebuah mesin pesanan suara yang otomatik mengidentifikasi Bank Negara Malaysia dan beberapa saat panggilan ini akan dijawab oleh seseorang yang mengaku sebagai pegawai Bank Negara Malaysia. Pegawai ini akan meminta informasi yang berkaitan dengan mangsa dari perkhidmatan perbankan mana , data Kad kredit dan data-data peribadi .
5. ’Fraudsters’ yang kini sudah memiliki cukup informasi akan terus membuat bank transfer melalui transaksi kad kredit yang lengkap dengan data-data yang mangsa berikan.
Anggota masyarakat diingatkan untuk tidak memberikan informasi pribadi mereka perbankan kepada pihak yang tidak diketahui tanpa Pengesahan terlebih dahulu .
Untuk informasi lebih lanjut, pertanyaan atau Aduan,
Hubungi: BNMTELELINK (Kontak Pelanggan Pusat) Tel: 1-300-88-5465 Fax: (03) 2174 1515 Email: bnmtelelink@bnm.gov.my
03 April 2009
Takziah
Ucapan takziah kepada keluarga Razali Sidek di atas pemergian isteri tercinta iaitu Allahyarhamah Puan Yusnani Yusof , pada malam Jumaat 2 April selepas selesai menunaikan solat isyak . Allahyarhamah adalah merupakan guru senior Pasti Adam Mak Chili Kemaman meninggal dunia selepas mengadu sesak nafas . Beliau meninggalkan 4 orang anak tercinta . Dikenali dengan panggilan Cikgu Teh adalah amat mesra dengan pelajar dan ibubapa di Pasti . Allahyarhamah adalah guru kepada pelajar baru 4 tahun yang memerlukan kecekalan dan ketabahan menangani kerenah anak-anak . Majlis pengkebumian disempurnakan pada waktu pagi yang dihadiri oleh guru-guru Pasti , kaum keluarga , pengurusan pasti Mak Chili dan Kawasan .
Pengurusan mendoakan semoga rohnya dicucuri rahmat dan dihimpunkan bersama dengan orang-orang yang soleh . Juga mendoakan semoga keluarga Razali Sidek menempuhi ujian ini dengan tabah .






